Tuesday, April 19, 2011
سامي يوسف أسماء الله Sami Yusuf Asma' Allah
اللهم صلي على محمد وصحبه محمد يا مؤمنين صلوا عليه صلوا عليه
Friday, December 4, 2009
Mencari kebenaran beragama
DARI neraca agama, hidup ini adalah satu ujian besar daripada Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya. Ujiannya datang dari berbagai sudut. Salah satu sudutnya adalah tuntutan untuk kita menyesuaikan hidup kita mengikut kehendak agama.
Lebih daripada itu, kita juga dituntut untuk memperjuangkan agama dalam hidup kita. Tetapi turut perlu diinsafi, terutama bagi kita yang hidup diakhir zaman ini, antara ujian terbesar kita dalam kehidupan beragama adalah untuk mencari dan memilih fahaman dan ikutan yang benar dan murni dalam beragama.
Antara Yang Zahir dan Yang Benar
Ada beberapa faktor yang tambah menyukarkan kita dalam membezakan yang benar dan yang tidak dalam beragama. Masyarakat awam misalnya mudah terpengaruh pada sesuatu yang menonjol, aggresif, lantang dan dilihat yakin. Oleh itu, sering berlaku pihak yang zahirnya lebih berani, lantang, fasih dan mendapat liputan meluas itulah yang lebih didengari dan dianggap betul. Selain daripada faktor itu, aliran yang batil atau keliru dalam agama pula sering turut bercampur dengan kebenaran. Jadi perlulah diingat bahawa kebatilan yang bercampur kebenaran itu lebih berbahaya berbanding dengan kebatilan tulen yang tidak bercampur kebenaran. Samalah seperti bahayanya hidangan menarik yang mengandungi racun berbisa.
Di samping itu, dalam konteks masyarakat Malaysia khususnya, saya dapati, ramai juga yang mudah terkeliru dan tidak dapat membebaskan diri daripada kerangka persaingan politik kepartian dalam menilai isu-isu agama. Sedangkan sering juga isu agama yang timbul adalah pertembungan fahaman dan prinsip yang lebih mendasar dan melangkaui batas politik kepartian.
Petua-petua Utama
Mencari yang benar dan salah dalam hal agama bukannya mudah dan merupakan ibu segala pencarian dalam hidup manusia. Tiada yang akan berjaya tanpa usaha yang disertai rahmat dan hidayah Allah SWT. Dalam mencari yang kebenaran dalam agama, sangat bertepatan kita merujuk petua masyhur yang diungkapkan dengan fasih oleh Imam Ibnu Sirin dari kalangan Tabiin dalam pesannya, "Ilmu ini (ilmu-ilmu agama) adalah agama kamu, maka hendaklah seseorang itu benar-benar kenal (memilih) daripada siapa dia mengambil agamanya".
Inilah petua dan prinsip inspirasi al-Quran dan al-Sunnah yang sangat asasi dan menyelamatkan. Menariknya, petua ini kurang ditekankan di kalangan mereka yang cenderung membawa fahaman yang Syaaz dikalangan umat ini. Mungkin kerana petua ini tidak menguntungkan mereka. Sebenarnya, jika petua yang satu ini benar-benar dihayati oleh anggota masyarakat, insya-Allah, mereka akan lebih mudah mengenal yang mana intan dan yang mana kaca.
Cabaran mengenal pasti sumber ikutan dan ambilan ilmu agama yang benar disukarkan lagi dengan munculnya, dari awal sejarah Islam, individu dan aliran sesat yang berwajah agama, siap dengan kelayakan zahiriyah dan retorik yang memukau. Contoh yang sangat jelas adalah episod Saidina Ali RA yang ditakdirkan terpaksa menghadapi fitnah kemunculan kelompok Khawarij. Mereka ini yang gagal betul-betul 'mengenali' Saidina Ali RA telah keluar dari mentaatinya atas niat dan asas keagamaan.
Mungkin mereka pun merasa perlu membawa perubahan dan tajdid terhadap arus perdana Umat ketika itu. Seperti yang masyhur dalam sejarah Islam, kelompok Khawarij ini zahirnya sangat kuat berpegang dengan agama. Sangat kuat ibadahnya dan tinggi semangat agamanya tetapi terpesong daripada fahaman agama yang benar.
Pembunuh Saidina Ali RA, Ibnu Maljam yang muncul daripada kalangan mereka diriwayatkan sedia menghadapi apa sahaja hukuman kecuali dipotong lidahnya kerana mahu lidahnya sentiasa basah dengan zikr. Saidina Ali yang berpengalaman dengan sepak-terajang kelompok sebegini ada berpesan, "Akan ada zamannya, dimana yang batil itulah yang paling zahir dan yang Haq itulah yang paling tersembunyi."
Menginsafi pengajaran sejarah dan pesan Saidina Ali ini, janganlah kita mudah terpukau dengan semboyan-semboyan perubahan dan tajdid (pembaharuan). Tidak semua yang melaungkan tajdid itu mujaddid sebenar. Tidak semua orang berimej agama yang ditangkap, dipenjarakan atau diperangi itu pejuang agama yang hakiki! Janganlah kita mudah terkeliru dengan gelar, sijil dan pangkat. Sangat bahaya jika kita terlalu taksub kepada seseorang kerana satu-dua pandangannya yang kita minati atau kebetulan menghentam pihak yang kita tidak sukai. Kenalilah dan kajilah betul-betul seseorang tokoh agama sebelum mengikutnya atau mendokongnya habis-habisan. Janganlah terlalu mudah mempertaruhkan agama kita yang menjadi penentu untung-nasib kita di dunia ini dan di akhirat yang kekal abadi.
Tolak Yang Syaaz, Ikutilah Arus Perdana
Selain daripada mengenali latar belakang dan kecenderungan seseorang yang ingin diikuti, satu lagi panduan yang sangat utama dalam memilih kebenaran dalam agama adalah dengan kesetiaan dengan aliran arus perdana dan mengelakkan aliran-aliran yang Syaaz (ganjil, asing dan kontroversi).
Dalam menilai aliran atau tokoh agama sering kali berlaku kekeliruan antara perjuangan yang Syaaz dan memperjuangkan pembaharuan (Tajdid) dalam agama. Islam bukannya anti-perubahan dan Tajdid adalah unsur dinamika yang penting dalam tradisi Islam. Tapi sebagai risalah terakhir yang terpelihara dan dijamin Tuhan Rabbul Jalil, ruang untuk perubahan dan Tajdid dalam Islam adalah jelas dan lebih terbatas berbanding dengan agama dan ideologi lain.
Dalam agama Islam, kita boleh isytiharkan dengan yakin bahawa kita tidak perlukan seorang Martin Luther dengan gerakan reformasi Protestantnya seperti yang berlaku dalam sejarah Kristian. Dalam neraca Islam tuntutan perubahan diluar batas-batasnya bukanlah Tajdid yang hakiki tetapi adalah pandangan dan gerakan yang Syaaz. Yang meruntuh dan bukannya membina. Yang melemahkan bukannya menguatkan. Yang memecah-belahkan dan bukannya menyatukan.
Mengenali dan menolak yang Syaaz adalah prinsip pokok dalam Islam seperti yang dinyatakan nas-nas termasuk ayat 115, Surah al-Nisa' dan hadis yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menghimpunkan Umat ini diatas suatu kesesatan, dan sesungguhnya Tangan Allah itu bersama al-Jamaah, maka ikutlah as-Sawaad al-A'zam (majority ulama) dan sesiapa yang mengasingkan diri maka dia mengasingkan dirinya ke Neraka" (Riwayat Abu Nu'aim, Hakim dan al-Tirmizi seperti disebut oleh al-'Ajluni dalam Kasyful al-Khafa').
Persoalan ini boleh didapati huraiannya dalam perbahasan berkaitan prinsip-prinsip Ijma', Jumhur, Mu'tamad dan as-Sawaad al-A'zam dalam bab-bab ilmu yang berkaitan.
Untuk mengenali dan menilai seseorang adalah tidaklah memadai sekadar membaca kolumnya dan mendengar ucapan-ucapannya tanpa kemampuan menilainya secara kritikal daripada kerangka fahaman agama yang mendalam. Seperti yang kita sebutkan, dalam sejarah Islam, memang sering muncul orang agama bijak berdalih dengan hujah dan dalil agama untuk mendokong fahamannya sehingga menyukarkan orang awam yang tidak kuat latar belakang agamanya serta tidak cukup maklumat untuk menilainya dengan saksama.
Tetapi berpandukan petua-petua utama yang baru kita himbau, kita sepatutnya sudah boleh membuat penilaian yang lebih tepat dalam isu beberapa aliran dan tokoh agama semasa yang timbul dalam masyarakat kita. Antara sikap dan pendirian yang Syaaz yang timbul dalam masyarakat kita ialah tidak boleh menerima perbezaan pandangan dalam isu-isu khilafiyyah. Ini merujuk kepada isu-isu yang mana terdapat perbezaan pandangan di kalangan mazhab dan ulama muktabar dalam dunia Islam. Sikap arus perdana dalam soal-soal sebegini adalah tidak menolak, memperlekehkan atau membid'ahkan amalan-amalan tersebut.
Malangnya, kita dapati ada tokoh-tokoh tertentu yang banyak mempertikaikan (baca menyesatkan) amalan-amalan yang sudah diterima umum dalam masyarakat kita yang ada asasnya di dalam Islam seperti tahlil arwah, bacaan Yaasin di waktu tertentu dan berubat dengan air yang dijampi. Malah ada yang dengan sinis meminta mereka yang percaya dengan air jampi ini untuk terus menjampi sahaja air di empangan agar semua orang boleh jadi baik!
Ada juga percubaan memakaikan imej yang buruk terhadap pendekatan tarekat dalam dunia tasawuf dan keruhanian Islam sedangkan pendekatan tarekat diterima oleh majoriti umat ulama termasuk Ibnu Taymiyyah. Menolak dan mempermasalahkan tasawuf dan tarekat adalah sikap yang bertentangan dengan arus perdana ulama dan umat Islam. Ia juga bererti menolak dan mempertikaikan tokoh-tokoh ulama tanah air yang disepakati jasa dan sumbangan mereka dalam menegakkan agama Islam seperti Tok Kenali, Tuan Tabal, Tokku Paloh, Tok Selehor, Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Ahmad Mohd. Said dan lain-lain yang kesemuanya mesra dengan dunia tasawuf dan tarekat. Sebenarnya kelompok sesat dan batil dalam tarekat adalah kelompok minoriti tetapi ada yang cuba memberi gambaran yang sebaliknya kepada masyarakat.
Akhir-akhir ini ada juga yang cenderung mempermasalahkan kedudukan mazhab Syafie sebagai mazhab utama dan rasmi di negara kita. Sebenarnya pilihan ini adalah pilihan semulajadi berdasarkan sejarah sampainya dan tersebarnya Islam di Nusantara.
Kita umumnya memahami sistem bermazhab yang menyebabkan kita tidak terlalu taasub mazhab Syafie. Cuma kita mungkin akan curiga jika ada amalan-amalan kita yang berdasarkan mazhab Syafie hendak dipertikaikan dan ditukar tanpa ada asas dan alasan yang kukuh serta dibuat di luar kerangka fatwa rasmi.
Anehnya ada yang membayangkan kita terlalu taasub dengan Mazhab Syafie sehingga ke tahap menganggap Imam-imam lain seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad terkeluar daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jama'ah. Adakah ada di kalangan kita yang ada menganggap begitu?
Apa pun nama dan gelarannya, tidaklah terlalu sukar mengenali yang tokoh atau aliran yang Syaaz dalam Islam. Jika pandangan dan kecenderungan seumpama ini diberi kebebasan untuk disebarkan dalam masyarakat kita, pelbagai kesan negatif akan timbul. Selain kekeliruan fahaman agama sehingga ke tahap melanggar hak dan adab terhadap para ulama muktabar silam dan semasa, ia juga boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat awam.
Penulis ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia.
Ilmu hadith belum cukup tanpa feqah
Abdul Latif Rahbar
Ilmuan-ilmuan Islam yang terkenal seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain imam muhaddithin yang mana mereka sudahpun menghafal ratusan ribu hadis masih tetap mengamalkan agama berdasarkan mazhab imam-imam mujtahid walaupun pada pandangan mata umum apalah perlunya mereka bertaqlid sedangkan mereka mempunyai ilmu agama yang jauh lebih daripada cukup? Di sinilah bezanya antara fuqaha (ahli-ahli fiqh) dan muhaddithin (ahli-ahli hadith). Apabila seseorang itu mengetahui beribu hadis sekalipun, tetapi dia tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membahaskannya, maka dia tidak layak untuk mengeluarkan sesuatu pendapat. Mereka-mereka yang mempelajari Sunan Tirmizi pasti mengetahui bahawa apabila membincangkan masalah fiqh, Imam Tirmizi tidak pernah mengambil pendapat guru beliau Imam Bukhari, tetapi beliau menyebut nama-nama seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad atau ulama Kufah iaitu Imam Abu Hanifah.
Imam Tirmizi hanya akan mengambil nama Imam Bukhari apabila beliau membahaskan kesahihan atau status sesuatu hadis, kerana beliau mengetahui bahawa walaupun Imam Bukhari adalah pakar dalam bidang hadis, tetapi kepakaran Imam Bukhari dalam ilmu fiqh belum dapat menandingi kepakaran yang ada pada imam-imam mujtahid.
Dapat kita fahami di sini, bahawa setinggi manapun ilmu hadith seseorang itu, belum tentu dia layak mengeluarkan fatwa sekiranya dia tidak mempunyai ilmu fiqh yang cukup. Sekiranya datang dua nas bertentangan antara satu sama lain, yang mana kedua-duanya adalah sahih dan sama kuat, yang mana satukah akan kita ambil? Ini hanya dapat dilakukan seandainya kita mampu memahami selok-belok ilmu fiqah, bukan dengan hanya bersandarkan kepada kesahihan semata-mata.
Sebagai contoh ingin penulis menceritakan di sini perbahasan antara dua imam mujtahid Abu Hanifah dan Awza’I mengenai masalah mengangkat kedua belah tangan selepas bangun dari rukuk. Imam Awza’i mengatakan: “Saya meriwayatkan dari Salim, dari Nafi’ dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangan dalam solat Baginda s.a.w.”
Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: “Saya meriwayatkan dari Hammad, dari Ibrahim An-Nakh’i dari ‘Alqamah dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengangkat tangan Baginda s.a.w.”
Imam Awza’i membalas: “Saya membawa sanad (rangkaian periwayat) yang lebih sedikit dan tuan ingin berhujah dengan sanad yang lebih perantaraannya?” (Mengikut pendapat ulama hadis, hadis yang lebih kurang perantaraannya antara perawi dengan Baginda s.a.w adalah lebih kuat dari hadis yang mempunyai lebih perawi, seperti yang tertera di atas bahawa antara Imam Awza’i dan Rasulullah s.a.w hanya tiga perawi dibandingkan dengan Imam Abu Hanifah yang mempunyai empat perawi).
Jawab Imam Abu Hanifah: “Hammad lebih faqih daripada Salim, Ibrahim An-Nakh’i lebih faqih daripada Nafi’ dan ‘Alqamah lebih faqih daripada Ibnu Umar walaupun beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Dan Ibnu Mas’ud adalah Ibnu Mas’ud (siapakah yang dapat menafikan kefaqihan Ibnu Mas’ud?).”
Di sini Imam Abu Hanifah mengambil kira faktor kefaqihan perawi dalam mengeluarkan fatwa dan bukan bersandarkan kepada kekuatan dan nilai sesebuah hadis semata-mata. Pun begitu perlu diingatkan bahawa menurut pendapat Imam Syafie mengangkat tangan selepas rukuk adalah sunnah kerana ia adalah amalan penduduk Tanah Haram dan Syam, yang mana terdapat sekurang-kurangnya 35,000 sahabat dikebumikan di Syam.
Dalam sebuah hadith riwayat Sunan, Nabi s.a.w. bersabda: “Semoga Allah ta’ala menyegarkan fikiran orang yang mendengar perkataanku, lalu dia menyampaikannya sepertimana yang dia dengar. Betapa ramai orang yang disampaikan itu lebih memahami dari si pendengar asal itu sendiri.”
Di sini Nabi s.a.w. sendiri mengkategorikan antara mereka yang menghafal hadis dan mereka yang memahami hadis. Kerana itulah Imam A’mash salah seorang perawi Bukhari telah berkata kepada anak murid beliau Imam Abu Hanifah: “Kamu wahai golongan fuqaha’ adalah doktor dan kami (golongan muhaddithin) hanyalah penjual ubat.”
Dalam I’lam al-Muwaqqi’in Imam Ibnul-Qayyim meriwayatkan bahawa satu ketika Muhammad bin Ubaidullah bin Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada guru beliau Imam Ahmad bin Hanbal: “Apabila seseorang itu menghafal 100,000 hadith, adakah dia dikira sebagai seorang yang faqih?” Imam Ahmad menjawab: “Tidak.”
Dia ditanya lagi: “Sekiranya 200,000 hadith?” Balas beliau: “Tidak.” Orang itu bertanya lagi: “Sekiranya 300,000?” dan sekali lagi Imam Ahmad menjawab tidak.
Kemudian orang itu bertanya: “Bagaimana sekiranya dia menghafal 400,000 hadith?” Lalu Imam Ahmad mengisyaratkan dengan tangan beliau, “Lebih kurang begitulah.”
Riwayat di atas memberi gambaran jelas kepada semua, dengan hanya mempelajari beberapa ribu hadis belum tentu kita mampu untuk melayakkan diri kita dalam mengeluarkan pendapat sewenang-wenangnya. Apatah lagi bila hanya tahu beberapa kerat hadis?
Mengapakah kita perlu bermazhab?
Inilah soalan yang sering diajukan oleh ghair muqallidin (golongan tidak bermazhab). Jawapannya amat ringkas: Apabila kita tidak mempunyai ilmu yang cukup maka wajib untuk kita mendengar mereka yang paling arif, dan sekiranya kita mempunyai ilmu yang cukup maka haram untuk kita mengikut mana-mana mazhab.
Ini bersesuaian dengan mafhum firman Allah ta’ala dalam surah al-Mulk apabila Allah ta’ala menceritakan perihal penduduk neraka: “Dan mereka berkata: ‘Sekiranya kami mendengar (patuh) atau kami memahami (akan agama) maka sudah tentulah kami tidak akan menjadi penduduk Sa’ir (Neraka)’”.
Walaupun ayat di atas adalah berkenaan dengan iman, tetapi memandangkan konteks ayat adalah luas maka ulama berhujah tentang betapa pentingnya patuh kepada yang mahir. Dan sekiranya kita tidak mahu patuh maka kita sendiri mestilah menjadi dari golongan yang berakal dan memahami sedalam-dalamnya.
Sekiranya kita tidak berhati-hati, maka dikhuatiri kita akan terjebak lalu tergelungsur jatuh dan jauh menyimpang dari kehendak syariah walaupun pada asalnya niat yang sebenar adalah untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi bersesuaian dengan yang di bawa oleh Baginda s.a.w.
Amalan ulama yang jauh lebih mahir berbanding kita sendiri adalah hujah yang kuat betapa kita tidak sepatutnya dengan sewenang-wenang mengeluarkan pendapat sendiri. Nama-nama seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i, Ibnu Majah, Tahawi, Ibnu Hajar, Ibnu Rushd, Sayuti, Ibnu Kathir adalah antara mereka yang bertaqlid dengan imam-imam mujtahid yang datang sebelum mereka.
Golongan yang tidak mengikut mazhab pada hari ini banyak menggunakan pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam membahaskan pendapat mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa keduanya adalah antara ulama ulung dalam mazhab Hanbali? Dan mengapa tidak sahaja mereka digelar Taimi sekiranya mereka merasakan bahawa pendapat Ibnu Taimiyyah sahaja yang berasaskan al-Quran dan Sunnah?
Adakah imam-imam mujtahid terdahulu tidak memahami sunnah sedangkan zaman mereka jauh lebih dekat dengan zaman Baginda s.a.w. dan para sahabat kalau nak dibandingkan dengan Ibnu Taimiyyah yang datang enam hingga tujuh abad selepas imam-imam mujtahid?
Hakikatnya apabila kita berpegang kepada pendapat imam mujtahid, kita sudahpun berpegang kepada dalil dan tali yang kukuh. Imam Dzahabi seorang ahli sejarah yang terkenal dan alim mengenai ilmu-ilmu perawi hadis dalam kitab-kitab beliau tidak pernah berbahas mengenai imam-imam mujtahid. Ini kerana penerimaan umum dan kehebatan imam-imam mujtahid mencapai darjah mutawatir, iaitu mustahil untuk orang ramai bersepakat untuk berbohong dalam menyatakan keunggulan imam-imam tersebut.
Ghair muqallidin hari inipun lebih banyak berpandukan pendapat ulama yang tidak mengikut mazhab seperti mereka antaranya Syeikh Nasirudin al-Albani. Persoalannya sekarang apabila mereka mengikut al-Albani maka mereka sahajalah Ahlusunnah wal-jama’ah. Dan apabila kita terikat dengan pendapat-pendapat Syafie maka kita tidak digelar sebagai Ahlussunnah. Di manakah keadilan?
Jadi, apabila kita sedia maklum bahawa ilmu yang ada pada kita hari ini belum tentu cukup untuk kita berbahas segala dalil dalam sesuatu masalah agama, apakah hak kita untuk berijtihad apatah lagi memberi keizinan umum kepada orang-orang awam untuk berijtihad sendiri? Sedangkan tahap pemahaman dalam kalangan ulama ada bezanya, apakah perlu kita menyusahkan orang ramai untuk berfatwa?
sumber: http://www.harakahdaily.net
juga blh di layari melalui: jomfaham.blogspot.com
Fahami Agama Melalui Tokohnya
Setiap fasa atau generasi umat ini pasti menghadapi ujian dan cabaran tersendiri. Sebagai antara generasi akhir umat ini yang terpisah jauh dari Nabi Muhammad SAW dari sudut masa, antara cabaran utama umat ini adalah untuk memahami Islam dengan setepat dan seutuhnya.
Sudah lumrah, semakin jauh kita dari Nabi SAW dan daripada generasi didikan baginda, semakin mencabar bagi kita untuk mendapa dan mencari kefahaman dan penghayatan Islam yang benar.
Pada masa yang sama, kita diajar untuk tidak sekali-sekali meragui keadilan Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih dan segala sifat-sifat kesempurnaan yang ada.
Jika kita sedia mengikut panduan dan ajaran yang ditentukan-Nya, risalah dan nur Islam hakiki sedia untuk ditemui dan dihayati oleh generasi demi generasi tanpa terputus hinggalah ke hari kiamat.
Sebaliknya sesiapa yang dinafikan rahmat-Nya akan enggan mengikut naluri iman dan lebih yakin dengan akal sendiri atau dikelabui oleh keegoan dan terkeliru oleh pelbagai sentimen, inilah hakikat yang menjadi latar di sebalik pelbagai salah faham dan kekeliruan tentang Islam dan ajarannya.
Selain daripada ajaran-ajaran yang jelas menyeleweng seperti mengaku dilantik menjadi rasul dan menerima wahyu yang lebih mudah dikenal pasti dan dijauhi, dengan izin Allah SWT, yang lebih membimbangkan adalah tersebarnya fahaman dan kecenderungan yang tidak begitu zahir berbahayanya.
Di antara fahaman sebegitu yang dapat dirasakan kehadirannya dalam masyarakat kita adalah kecenderungan terlalu liberal atau terlalu literal dalam memahami Islam.
Terlalu liberal
Kecenderungan terlalu liberal bererti seseorang itu menghayati dan memahami Islam dengan terlalu bebas dan tanpa mematuhi kaedah dan disiplin ilmu Islam yang benar.
Kecenderungan ini boleh mengakibatkan seseorang itu menolak ajaran dan prinsip agama yang sudah tetap sehingga ketahap mengambil sikap yang bercanggah dengan nas-nas wahyu yang jelas.
Di antara gejala kecenderungan liberal di negara kita termasuklah sikap menolak dan mempertikaikan hukum jenayah Islam berkaitan kes Kartika Sari yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini.
Sebelum ini kita juga ada mendengar 'ayat-ayat' liberal ini di sekitar isu-isu seperti murtad, poligami, pencegahan maksiat dan sebagainya. Mujurnya di negara kita kecenderungan seumpama ini rata-ratanya dijuarai oleh individu dan kumpulan yang bukan berlatar belakangkan pendidikan agama yang menyebabkan masyarakat umum tidak akan mudah menerima tafsiran dan 'ijtihad' mereka.
Alhamdulillah, orang kita tidak akan mudah menerima hujah agama daripada mereka yang tidak berkelulusan dan berimej agama. Ini berbeza dengan situasi di Indonesia di mana kecenderungan liberal ini turut menghinggapi sebahagian para lulusan pesantren dan pendidikan tinggi Islam.
Akhirnya kesan gejala ini dirasakan lebih menggawatkan dan mengancam dalam masyarakat Islam Indonesia. Kita memohon kepada Allah SWT agar menyelamatkan para agamawan negara kita khasnya dan masyarakat amnya daripada dihinggapi virus kecenderungan terlalu liberal ini.
Nas lawan pandangan tokoh?
Adapun kecenderungan terlalu literal dalam menafsirkan Islam nampaknya semakin kelihatan di kalangan segelintir agamawan di negara kita. Oleh kerana mereka berkelulusan dan berimej agama, jika tidak diawasi mungkin fahaman ini akan mempengaruhi sejumlah besar masyarakat Islam.
Ia juga bermaksud kecenderungan seseorang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa perantaraan tafsiran ulama muktabar di atas nama berpegang kepada dua sumber asasi agama.
Ini secara tidak langsung juga akan membawa kepada pemahaman sendiri yang lebih literal atau zahiri terhadap nas-nas ini kerana tanpa merujuk kepada khazanah ilmu warisan untuk memahami nas-nas ini, kemampuan seseorang itu memahaminya secara mendalam dan halus akan lebih terbatas.
Golongan berkecenderungan ini kadang-kadang mendakwa bahawa dengan sikap begini, maka mereka lebih mengutamakan nas daripada pandangan tokoh. Nas-nas wahyu tentunya lebih utama daripada pandangan mana-mana tokoh tanpa mengira sebesar mana tokoh tersebut.
Ini adalah kata-kata yang bunyinya benar tetapi hakikatnya membawa kepada kebatilan. Ia mengingatkan kita kepada tempelakan Saidina Ali r.a kepada dakwaan puak Khawarij yang melaungkan slogan daripada ayat al-Quran, surah al-An'am, ayat 57 yang bermaksud,
Hanya Allahlah yang membuat penentukan hukum. Saidina Ali r.a menjawab, Kalimatu Haqqin Uriida biha Batil (Kata-kata yang benar tetapi digunakan untuk yang batil).
Dakwaan ini kita katakan batil kerana adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa nas-nas al-Quran dan hadis tidak akan dapat difahami dengan tepat dan benar tanpa merujuk kepada pandangan tokoh-tokoh.
Kita tidak akan dapat berlaku adil kepada dua sumber utama Islam ini tanpa sumbangan kajian dan pandangan para tokoh-tokoh ulama. Malah ilmu-ilmu alat dan kaedah berkaitan dengan kedua-dua sumber ini pun disusun dan diperkembangkan oleh para tokoh ulama dari zaman ke zaman.
Oleh itu sebenarnya tindakan mempertentangkan antara nas dan pandangan tokoh ulama adalah suatu yang janggal dan asing dalam tradisi ilmu Islam. Nas dan pandangan tokoh yang muktabar adalah suatu yang harmoni dan berjalan seiring. Yang penting pandangan dan tokoh yang kita rujuk haruslah pandangan yang muktabar dan diiktiraf.
Memilih pandangan dan tokoh yang terbaik pula bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, jika tradisi keilmuan, budaya ilmu dan berguru dalam Islam benar-benar diikuti, insya-Allah kefahaman dan penghayatan Islam yang murni sentiasa ada dan boleh dicapai oleh umat Islam di sepanjang zaman.
Memperlagakan
Tindakan memperlagakan nas dan pandangan tokoh salah kerana hakikatnya tiada siapapun yang dapat membebaskan diri daripada merujuk dan bersandar kepada pandangan tokoh dalam memahami nas, memahami Islam malah mana-mana persoalan khusus atau ilmiah.
Hakikatnya mereka yang mendakwa merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah juga sebenarnya bersikap demikian kerana mengikuti pandangan dan saranan tokoh tertentu.
Dalam menafsirkan nas dengan pendekatan yang lebih literal atau mendekati sunnah dengan manhaj tertentu pun mereka kuat berpegang dan bersandarkan tokoh tertentu.
Ini jelas daripada nama beberapa tokoh ulama yang sering mereka ulangi dan jadikan rujukan utama dalam tulisan dan bahasan mereka. Akhirnya realiti yang berlaku adalah sekadar peralihan daripada pandangan sebaris tokoh kepada mengikuti pandangan tokoh-tokoh lain.
Malah yang selalu berlaku adalah sikap meninggalkan pandangan tokoh-tokoh yang sudah menjadi pandangan yang muktabar dan menonjolkan pandangan-pandangan yang lebih lemah dan dipertikaikan.
Sikap ini juga akan menimbulkan satu kesan sampingan buruk yang bukannya kecil iaitu perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam dalam memahami dan mengamalkan agama mereka.
Ini kerana jika pandangan dan tokoh yang muktabar dalam Islam cuba dilayan dengan tidak wajar sudah tentu akan ada tindak balas dari kalangan umat Islam yang sedar bangkit mempertahankannya.
Jika pihak yang cenderung mempersalahkan para tokoh muktabar ini berkeras dan berterusan melakukannya maka rosaklah hubungan dan persaudaraan di kalangan mereka yang mahukan Islam.
Saranan dan prinsip untuk memahami dan mengambil ajaran agama daripada tokoh-tokohnya yang muktabar adalah suatu yang ditetapkan oleh nas-nas yang banyak dan hujah aqli yang kukuh. Insya-Allah, ruangan ini akan menghuraikannya dalam kesempatan yang mendatang.
Tulisan kali ini sekadar lontaran awal melihatkan adanya kecenderungan sesetengah pihak untuk mengkritik tokoh-tokoh, kitab-kitab dan institusi warisan muktabar dalam Islam.
Memanglah mana-mana tokoh selain Nabi SAW akan ada kelemahan mereka. Soalnya menumpukan perhatian dan menonjolkan kelemahan mereka hanya akan menenggelamkan kehebatan dan kelebihan mereka yang jauh lebih penting dan lebih kita perlukan.
Sumber : http://yayasansofa.com/
Wednesday, August 26, 2009
Ramadhan Kareem
Khutbah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Pada Hari Terakhir Sya’ban
Daripada Sayyidina Salman al-Farisi رضي الله عنه, beliau berkata: Pada akhir bulan Sya’ban, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkhutbah pada kami:Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah menghampiri kalian, bulan yang agung, bulan yang diberkati dan bulan yang terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (yakni malam Lailatul Qadar). Bulan yang Allah menjadikan puasa pada bulan tersebut suatu kefardhuan dan sholat pada malamnya suatu perkara yang disunatkan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan tersebut dengan satu jenis kebaikan, maka dia seolah-olah menunaikan satu kefardhuan pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu kefardhuan pada bulan terse but, maka dia seolah-olah menunaikan 70 kefardhuan pada bulan yang lain. la merupakan bulan kesabaran dan kesabaran ganjarannya adalah syurga, bulan melakukan kebaikan dan bulan bertambahnya rezeki bagi orang yang beriman. Sesiapa yang menjamu orang yang berbuka puasa pada bulan tersebut, akan dikurniakan keampunan, dikurniakan pembebasan dari neraka dan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangkan sedikit pun dari balasannya.
Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Tidak semua daripada kami mempunyai sesuatu untuk dijamu kepada orang yang berbuka puasa?" Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: "Allah juga mengurniakan ganjaran ini bagi orang yang menjamu orang yang berbuka puasa walaupun dengan sebiji tamar, atau seteguk air, atau sekali hisapan susu.
Bulan ini, awalnya ialah rahmat, pertengahannya ialah maghfirah dan penghujungnya ialah pembebasan dari neraka. Maka sesiapa yang meringankan kerja pekerjanya pada bulan ini, nescaya Allah mengampunkan dosanya dan membebaskannya dari neraka.
Hendaklah kalian memperbanyakkan pada bulan ini empat perkara: Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian dan dua perkara yang kalian amat perlukan. Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian ialah penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sentiasa memohon keampunanNya. Manakala dua perkara yang kalian perlukan ialah kalian memohon syurga kepada Allah dan berlindung denganNya dari neraka. Sesiapa yang mengenyangkan orang yang berpuasa, nescaya Allah memberikan kepadanya dari telagaku minuman yang tidak akan menghauskan sehinggalah dia memasuki syurga.”
Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah di dalam Shohihnya, al-Baihaqi dan Abu al-Syaikh Ibnu Hibban

Antara pengajaran yang dapat dipetik dari hadits diatas:
- Pentingnya membuat persediaan (ilmu, mental dan fizikal) sebelum ketibaan bulan Ramadhan agar ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkhutbah sebelum datangnya Ramadhan untuk memberi peringatan serta motivasi kepada para shahabat untuk bersedia menerima kedatangan Ramadhan.
- Ramadhan bulan yang sangat istimewa, bulan yang agung lagi diberkati. Oleh kerana itulah kehadirannya dinantikan. Dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengajarkan doakan agar disampaikan kita ke bulan Ramadhan yang mulia itu.
- Lailatul Qadar, malam yang mana lebih baik dari 1,000 bulan, berlaku pada salah satu malam dari bulan Ramadhan.
- Pada bulan Ramadhan difardhukan berpuasa pada siangnya dan pada malamnya disunatkan mengerjakan sholat Tarawikh
- Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran dan ganjaran bagi mereka yang bersabar adalah jannah (syurga).
- Pada bulan Ramadhan ganjaran dilipatkan gandakan. Mengerjakan 1 kefardhuaan di bulan Ramadhan, pahalanya seumpama mengerjakan 70 kefardhuan di bulan lain. Manakala mengerjakan perkara sunat pula ganjaran seumpama mengerjakan yang wajib.
- Keutamaan menjamu orang berbuka puasa. Rebutlah peluang untuk mendapat minuman dari telaga Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kelak di masyhar dengan memberi minuman kepada orang yang berpuasa. Raihlah keampunan dari Allah dan pembebasan dari api neraka dengan menjamu orang untuk berbuka puasa.
- Banyakkan mengucapkan لا اله الا الله dan beristighfar di bulan Ramadhan
- Banyakkan berdoa untuk memohon kepada Allah untuk memasuki syurganya dan pohonlah perlindungan denganNya dari dicampakkan kedalam api neraka di bulan Ramadhan.
- Rebutlah rahmat, magfirah (keampunan) dan pembebasan dari dari api neraka dengan mengerjakan ibadah puasa dengan sempurna dan perbanyakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.
.:Salam Ramadhan Al-Mubarak:.
Sunday, August 9, 2009
Syaaban
nk blogging sokmo...xdan...aku ni PC,laptop xde..huhu..time de msa,pluang..aku tulis la...
orang kato...,skit tu lbh baik dari xde lgsung....
Aku ni xpndai sgt bab agama ni...cume skdar aku ingtkn diri aku dan saudara2 ku...kalu ada slh-slp harap saudara2 ku yg alim..perbetulkanlah....,
Rejab yg mulia telah pun mnggalkn kite...Syaaban juga sudah melepasi pertengahannya....
Smbutan Nisfu Syaaban telah di adakan...doa,zikir,munajat,yasin d baca pada malam Nisfu Syaaban...di sebalik fitnah,cercaan yg di lontar kan oleh satu golongan yg suka membidaahkan...Nisfu Syaaban BIDAAH..Doa BIDAAH...semua amalan2 hendak d BIDAAHkan oleh MEREKA... Ulama'2 ahli sunnah,yg berpegang teguh dgn Al-Quran,Sunnah,Qias,Ijma'..berpandukan kitab2 & tunjuk ajr ulama'2 terdahulu...smbutan Nisfu Syaaban..3x bc ya siin,zikir dll.,tetap dpt di laksanakan oleh kita,org awam yg ingin beramal ttapi terkadang keliru dengan dakyah2 golongan yg suka membidaahkan amalan2 org2,ulama'2 terdahulu....
menjelang Ramadhan nnt..kita akan dengar...Golongan tersebut akn mencanangkan..BIDAAH TERAWIH 20.... so,bg kite mnghdapi tohmahan,hujah2 mereka...HENDAKLAH KITA MENCARI ILMU2 yg berkaitan dengan amalan2 yg akn kita akn perbanyakkan apabila Madrasah Ramadhan memulakan sesi nya nnt...
Syaaban ni ms utk kite mula mempertingkan kan amalan2 kite...Ramadhan nnt lg la d tingkatkan......seterusnya kite pakat tingkat skmo....
Nabi pun ada kato...(mafhumnya), Nabi SAW ajr kito..,Org (Muslim) hak beruntung ialah org yg hr ni lbh baik dr smlam.,dan esk lbh baik dr hari ni..... so,pakat2 la kite baiki dri kito...Syaaban & Ramadhan ni adlah PELUANG TERBAIK kito...jgan tggu lg...REBUTLAH PELUANG ni...kite x tau smada kite dan (sempat) lg ke x nk jmpa dgn Syaaban thun hdpn plk...
Tuesday, July 21, 2009
Ku biar qalam berbicara...
ku biar qalam berbicara...
menghurai maksudnya di jiwa..
...Aku menulis bukan kerna nama..
